HARGA EMAS RAKYAT
JUAL BELI Pamp Suisse 9999
Emas Rakyat RM:178.84 RM:165.36 100g RM:189.71 RM:162.70
Rantai Tangan 999 24k Rantai Leher 999 24k
50g RM:195.67 RM:165.36 50g RM:196.55 RM:165.36
100g RM:194.93 RM:165.36 100g RM:195.81 RM:165.36
Kemaskini Pada : 14 Oct 2011 - 11:07:12

Sunday 20 March 2011

Kenali Emas - Anugerah Allah Yang Unik.

Emas berwarna kuning berkilauan dan unsur paling berat dalam kerak bumi. Ia juga tidak terkakis oleh serangan bahan kimia luar seperti asid, alkali dan larutan garam. Oleh itu, bentuk, jisim, kandungan bendasing, dan mutu kilauannya kekal selagi belum dileburkan. Satu-satunya bahan kimia yang boleh melarutkan emas ialah aqua regia yang ditemui dan dirumuskan oleh Jabir Ibn HayyanBapa Kimia Moden (bukan Robert Boyle).


Oleh kerana sifatnya yang berat, cantik berkilau, kebolehaliran elektrik yang tinggi (sesuai pada zaman moden) dan tidak mudah terkakis dan rosak, dan sukar ditemui, maka ia menjadi amat bernilai dan nilainya kekal dan tidak berubah kerana fizikalnya tidak mudah berubah oleh faktor luaran. Oleh kerana nilainya yang kekal dan tersendiri inilah, maka harga atau nilai barang-barang jualan disandarkan kepada nilai emas. Barangan jualan seperti makanan, pakaian dan hasil kerja seni, berubah nilai mengikut keadaan semasa pasaran. Selain itu, faktor luaran juga memainkan peranan. Makanan akan rosak jika diserang serangga dan disimpan dalam masa yang lama, pakaian akan lusuh dan mungkin dirosakkan dan dikotorkan oleh serangga dan sudah tidak laku, maka nilainya berubah-ubah dan tidak sesuai disandarkan nilai kewangan padanya.

Nilai Emas

Menyandarkan nilai kewangan kepada emas juga dapat menghindarkan riba daripada berlaku dalam urusniaga perniagaan. Katakanlah seorang peniaga A ingin menjualkan baju besinya berjenama M kepada peniaga B, dengan peniaga B menyerahkan baju besinya berjenama N kepada peniaga A. Mutu baju besi yang ditukar sesama mereka ini mungkin sudah tidak sama seperti 10 tahun yang lalu. Nilai mereka mungkin berbeza kerana nilai pasaran sentiasa berubah-ubah. Kalau 10 tahun yang lalu, raja mereka mungkin menjalankan kempen perang, maka permintaan terhadap baju besi meningkat dan harganya meningkat di pasaran. Namun kini, harganya sudah tidak menentu, kadangkala naik dan kadangkala turun. Mungkin sehari sebelum urusniaga tersebut dijalankan, harga pasaran bagi baju besi M bersamaan dengan 2 dinar emas, manakala harga baju besi N bersamaan dengan 2 dinar emas juga. Mungkin ketika saat urusniaga dijalankan, harga baju besi M berubah kepada 3 dinar mengikut pasaran, manakala harga baju besi N kekal 2 dinar. Maka berlakulah riba di sini kerana berlaku perubahan nilai pada harga baju-baju besi ini. Oleh itu menurut Islam, peniaga A mestilah menjualkan baju besi jenama Mnya terlebih dahulu dan dapatkan duit dinar, kemudian menggunakan duit dinar yang diperolehinya untuk membeli baju besi jenama N daripada peniaga B. Dengan ini riba dapat dihindarkan, kerana nilai baju emas disandarkan kepada nilai emas yang tidak berubah-ubah dalam pasaran.


Oleh itu apakah wang kertas yang berleluasa digunakan dalam zaman moden ini? Wang kertas hanyalah kertas-kertas yang disandarkan kepadanya nilai sebagaimana sewaktu ketika dahulu kita menyandarkan nilai kepada emas. Wang kertas asalnya daripada bank. Seperti yang diketahui, emas adalah berat dan tidak sesuai dibawa ke mana-mana dalam kuantiti yang banyak. Ia juga terdedah kepada kehilangan dan serangan perompak. Maka emas disimpan di bank oleh para pemiliknya. Bank pula mengeluarkan penyata kertas kepada setiap penyimpan emas, yang menyatakan kuantiti emas yang disimpan oleh setiap pemilik. Bagi setiap 1 dinar (katakan), maka penyimpan akan mendapat 1 keping kertas bagi mewakilinya. Jika kertas ini hilang, maka penyimpan dapat menebus kembali emasnya di bank.


Oleh kerana bank ingin mencipta keuntungan segera, maka pihak bank telah mencetak penyata-penyata kertas yang palsu dan mengatakan kepada orang ramai bahawa ia penyata kertas yang sah. Maka ramailah orang berpusu-pusu datang ke bank untuk meminjam wang. Dan ramai pula orang ramai yang menggunakan kad kredit (salah satu kaedah berhutang kepada bank). Bank juga mengenakan faedah kepada sesiapa yang lewat menjelaskan pinjaman mereka dalam tempoh yang ditetapkan. Akhirnya, kertas-kertas yang dicetak melebihi jumlah emas dalam bank. Sehingga ke satu tahap, tiada langsung emas dalam bank dan bank hanya mengeluarkan kertas-kertas kosong yang nilainya tidak disandarkan kepada emas lagi. Orang ramai yang masih meyakini bahawa kertas-kertas tersebut bernilai, terus menerus meminjam daripada bank. Hasilnya lahirnya matawang kertas yang berasaskan keyakinan orang ramai kepada nilai pada kertas. Matawang ini dikenali dengan nama ‘fiat money’ atau wang kosong. (fiat-Latin yang membawa maksud ‘biarkan ia diperlakukan’ atau ‘let it be done’).

Keadaan bank yang kekosongan emas, ditambah hutang orang ramai terhadap bank yang semakin bertambah hasil faedah dan penggunaan kad kredit, memberikan bencana kepada bank apabila pemilik-pemilik emas datang menuntut emas simpanan mereka. Dalam keadaan panik, pihak bank mula menghentikan pemberian hutang kepada pengguna kad kredit. Maka berlakulah apa yang kita kenali sekarang ini sebagai ‘kuncupan kredit’ atau ‘credit crunch’ , di mana pemegang kad kredit tidak dapat menggunakan kad mereka secara tiba-tiba kerana disekat oleh pihak bank.


Bank sebegini akhirnya diisytihar muflis akibat desakan pemilik emas supaya bank memberikan kembali emas kepada mereka. Contoh bank yang telah muflis akibat kuncupan kredit ialah Lehmann Brothers. Selain itu terdapat juga bank-bank lain di Amerika yang turut muflis.


Kini, wang kertas terus menerus digunakan. Nilai wang kertas berubah-ubah bergantung kepada pasarannya. Bagi menjelaskan bagaimana wang kertas diniagakan, saya ambil satu contoh. Katakan kita membeli baju daripada sebuah kedai. Maka peniaga baju sebenarnya membeli wang daripada kita dengan membayarkan baju kepada kita. Jika dalam sesebuah negara kadar pembelian wang daripada pengguna meningkat (atau dengan kata lain, pengguna hanya membeli barangan buatan negaranya dan kadar pembeliannya tinggi) maka nilai matawang mereka akan meningkat. Ini kerana matawang mereka menjadi ‘laku’, atau permintaan terhadap wang mereka tinggi. Maka nilai matawang menjadi tinggi. Selain itu, nilai matawang juga menjadi tinggi apabila pelabur-pelabur luar masuk dan membeli matawang kita. Bagaimana mereka membeli matawang kita,ialah dengan menukarkan matawang mereka dengan matawang kita. Ini kerana urusniaga dalam negara hanya boleh dijalankan dengan menggunakan matawang negara itu. Oleh itu, wang kita menjadi laku. Faktor-faktor seperti keamanan, kedudukan negara yang strategik boleh menjadi daya tarikan untuk pelabur luar datang melabur ke negara kita. Semakin ramai pelabur datang, semakin lakulah wang kita dan semakin tinggilah permintaan terhadapnya. Maka nilai matawang akan meningkat.


Nilai matawang sesebuah negara akan sentiasa berubah-ubah bergantung kepada faktor-faktor seperti yang dijelaskan tadi. Jika sesebuah negara yang rendah nilai matawangnya, kemudian bank negara itu terus menerus mencetak wang kertas, maka ia tidak akan meningkatkan nilai matawang mereka, malah menjunamkannya lagi. Jika sesebuah negara matawangnya ialah Rupiah dan satu ringgit bersamaan dengan 1000 rupiah, maka jika matawang rupiah dicetak dengan sebanyak-banyaknya, nilainya boleh turun sehingga satu ringgit bersamaan 1000 000 rupiah. Maka tidak ada cara lain untuk meningkatkan nilai matawang selain menarik pelabur asing datang dan menggalakkan rakyat membeli produk negaranya sendiri. Namun cara terbaik sudah tentulah dengan menggunakan dinar emas bagi menggantikan wang kertas yang nilainya sering berubah-ubah.


Salah satu sifat emas yang melayakkannya dijadikan wang berbanding wang kertas ialah ia sukar ditemui dan ia tidak boleh dihasilkan oleh kerja tangan manusia. Wang kertas pula ialah komoditi yang dihasilkan manusia, sama seperti barangan dagangan yang lain seperti makanan dan sebagainya. Oleh itu, pasarannya tertakluk kepada berapa banyak yang dihasilkan oleh pengeluar wang kertas dan berapa banyak permintaan terhadapnya. (tertakluk kepada hukum ‘supply and demand’). Berbeza dengan emas, ia tidak boleh dihasilkan dan hanya diperolehi daripada perut bumi. Maka bekalannya bergantung kepada kebolehdapatannya daripada perut bumi. Sementara permintaan terhadapnya sudah tentu tidak akan pernah berkurang, kerana emas seperti yang telah diberitahu sebelum ini, mempunyai ciri-ciri fizikal yang menjadikannya tidak mudah rosak dan amat bernilai, serta sukar ditemui. Jadi, nilai emas tidak jatuh dan sangat sesuai dijadikan matawang dan merupakan komoditi berharga yang dipersetujui oleh setiap manusia di seluruh dunia.





No comments:

Post a Comment